Dulu, selalu juga saya dengar orang kata mereka yang bertunang ini darahnya manis. Manis kepada orang atau kepada nyamuk, tidak pula saya ambil tahu. Akan tetapi saya akui jika dikatakan masa bertunang banyak dugaan. Sesiapa yang pernah menempuhnya akan tahu bagaimana rasanya berada di alam pertunangan. Sebab itulah orang tua-tua berkata, tidak elok bertunang lama-lama.
Saya tidak ingat sama ada saya pernah bercerita di laman ini tentang penyakit versi "Misteri Nusantara" yang pernah saya alami sejak belum melanjutkan pengajian ke Mesir lagi. Gangguan yang datang bukan sekadar mimpi-mimpi yang dianggap orang sebagai mainan tidur, malah beberapa jenis "bahan terbuang" pernah dikeluarkan dari tubuh saya. Saya perasan bahawa gangguan-gangguan sebegitu kian menjadi-jadi setelah saya bergelar tunangan orang. Mujurlah setiap kali hal itu berlaku, saya dapat merasai kehadirannya, lantas dapatlah saya bersegera mencari penawar menghilangkan sakit. Kasihan kepada mereka di sekeliling saya, terutamanya tunang yang merasai sedikit-sebanyak tempiasnya kerana apabila sakit datang, perasaan saya kepadanya turut berubah dan saya mudah marah-marah tanpa sebab yang munasabah.
Kata seorang rakan sekerja saya, dulu sebelum bertunang, hati sering bertanya siapakah agaknya lelaki yang ditakdirkan untuk kita. Saya sendiri selalu cuba-cuba mencungkil rahsia rakan-rakan yang akan dan sudah berumahtangga tentang bagaimana mereka boleh jatuh cinta, bagaimana mendapat cinta sejati, bagaimana rasanya hidup bersama dengan pasangan yang bukan sahaja lain jantinanya tetapi datang dari planet yang berbeza, dengan cara berfikir dan cara hidup yang berbeza, bagaimana dan bagaimana sehingga saya membaca artikel-artikel seperti tentang cara membuat lelaki jatuh cinta, cara mengetahui seseorang itu adalah jodoh kita, malah pernah juga saya tersasar sehingga mencari bagaimana untuk menarik bekas kekasih kembali ke pangkuan kita dengan pendekatan psikologi. Menarik bunyinya kan? Harus diakui bahawa cara itu memang berkesan tetapi tidak perlulah diamalkan kecuali anda memang betul-betul orang yang terdesak untuk mencari pasangan dan tidak kisah membina bahagia di atas derita orang lain (jika ketika itu bekas kekasih anda sudah berteman) tetapi sanggupkah anda berbuat demikian? Jika tidak, lupakan sahaja niat "jahat" anda itu sebab jika dia bukan jodoh anda, percayalah, kalian tidak akan bersatu walau dengan apa cara jua.
"Kalau mencari teman, janganlah memandang luaran, cari yang beriman"
Ketika itu saya terfikir bahawa saya perlu kembali membuka hati agar cinta yang sebenar tidak berlalu pergi sehinggalah saya menemui satu cerita pengalaman seorang andalusia di sebuah akhbar nasional negara dan antara kata-katanya yang masih saya ingat adalah untuk mendapat jodoh, jalan pertama adalah dengan mendekatkan diri kepada ALLAH swt. Jauhi maksiat, gandakan ibadat. Itulah sebenarnya yang membawa saya kepada dia yang tidak disangka-sangka.Pelik betul kerja TUHAN. Merantau jauh-jauh, rupanya jodoh di hadapan mata sahaja. Pusing punya pusing, berselisih faham, bergaduh "macam nak rak", bertemu juga akhirnya. Tak suka tak suka akhirnya suka suka suka ^_^
Dalam kesibukan membuat persiapan ke alam perkahwinan, ramai juga yang menghadapi dilema seperti ini; tiba-tiba ahli kelab bekas kekasih ingin kembali bersama kenangan-kenangan manis yang pernah dicipta dan cuba menutup kesilapan silam yang menjadi pemutus segala kemesraan. Ujian lain adalah apabila calon-calon yang selama ini tersembunyi, jadi timbul semula. Selepas bertunang barulah kawan emak berkata, "Ada anak angkat kita yang kerja peguam syariah. Orangnya putih, hensem, kalau dengan Angah sesuailah.." (Ceh macamlah dia tahu taste saya macam mana kan?) Selepas bertunang baru kawan-kawan abah bercerita tentang anak-anak bujang mereka yang sebaya saya dan berkerjaya hebat tetapi masih belum berpunya. Selepas bertunang baru Cik Tun nak beritahu saya yang Wak Jamal berkenan sungguh nak jadikan saya menantunya ketika saya khabarkan bahawa saya berasa sedih apabila isteri Wak Jamal meninggal dunia sebaik sahaja habis mengerjakan haji kerana saya baru sekali bertemunya. "Dia memang nak sangat jumpa kau sebelum dia pergi," kata Mak Tun. Oh Mak Tun, Mak Tun. Selama ini sudah acapkali saya bersarapan dengan makcik-makcik cleaner tetapi tidak pula dia tergerak hendak membuka cerita. Begitu juga pak haji tuan punya kedai kain di Bukit Gambir yang melamar saya untuk anaknya sebelum saya memberitahu status diri. "Oh, pakcik ni dah terlambatlah ye?" Saya senyum sahaja. Begitulah kalau bukan jodoh...
Kalau kita tidak kuat iman dan tidak setia mempertahankan cinta, mudah sahaja terbawa arusnya sedangkan ini semua adalah "cobaan..." Barangkali itulah antara faktor mengapa terjadinya putus tunang atau tragedi pengantin lari. Saya tinggalkan anda dengan ayat klise yang memang benar dan tidaklah ia melainkan yang benar belaka, "Apapun, jodoh pertemuan adalah urusan TUHAN. Manusia hanya merancang, TUHAN yang menentukan." Kepada mereka yang baru atau sedang memasuki fasa pertunangan, mudah-mudahan kita semua dapat mempertahankan ikatan pertunangan dan terselamat dari kisah cinta tragis meskipun darah yang manis bukan akibat diabetis. Insya-ALLAH, amin...
Najib yakin BN rampas negeri-negeri bawah pembangkang
44 min yang lalu


2 komentar:
wah.. sudah?! tahniah lailati! ;)
13 Februari 2012 12:51 PTGBaru tunang je kak huhu:-)
13 Mac 2012 11:07 PGCatat Ulasan