Sedar tak sedar, seminggu sudah saya lalui di rumah bapa saudara saya yang rupa-rupanya telah diwakafkan menjadi asrama untuk anak-anak gadis yang ingin menyandang gelar hafizah. Setiap pagi sebelum subuh, mereka akan bersolat tahajjud, kemudian ada juga yang menyambung hafazan. Selepas subuh mereka tidur sebentar. Kelas akan saya mulakan pada jam 8 pagi manakala rakan saya pada jam 8.30 pagi. Jam 9 pagi, kelas sabak (hafazan baharu) ini akan berakhir dan mereka akan makan beramai-ramai menggunakan talam dengan juadah sarapan yang dibawa sedikit-sedikit dari rumah masing-masing. Kadang-kadang saya juga akan menyediakan sarapan yang mudah sebelum masuk ke kelas seperti cucur jagung atau pisang dan menanak nasi agar mereka hanya perlu memasak lauk untuk makan tengah hari.
Selepas sarapan bersama-sama mereka, masing-masing akan menunaikan solat dhuha sebelum masuk semula ke kelas jam 10 pagi untuk mengikuti kelas sabqi (hafazan lepas yang baharu diperdengarkan kepada guru). Kira-kira jam 12 tengah hari, kelas ini akan berakhir dan disambung semula pada jam 2 petang selepas qailulah sebentar, solat zohor dan makan tengah hari, juga secara berjemaah. Kelas di sebelah petang ini leih menekankan tentang hafazan lama yang disebut sebagai amokhta (perkataan-perkataan pelik ini diambil dari bahasa Turki kerana kebanyakan madarasah persendirian seperti ini menggunakan sistem Turki). Pada sebelah petang, bermulalah aktiviti bebas untuk mereka sama ada khidmat diri, menghadiri usrah, majlis ta'alim dan ada juga antara mereka yang mengambil peluang untuk beriadah seperti bermain badminton, basikal atau menunggang motosikal (biasalah,nama pun budak-budak...)
Pada sebelah malam selepas solat maghrib, mereka akan terus menghafaz sehingga isyak sebelum makan malam dan sebelum tidur akan terus menghafaz dan menghafaz dan menghafaz dan begitulah seterusnya hari-hari yang mereka lalui. Tanpa televisyen, tanpa internet, fuhh bagaimanalah agaknya mereka boleh bertahan (tetapi ramai yang memiliki telefon genggam sendiri) dalam mengharungi hidup penuh "pancaroba" ini? Saya sendiri terpaksa meninggalkan jauh-jauh Buletin Utama TV3, Merlin, Cinta Elysa dan Deko Bersama Eric yang "kan..kan..haa cantik tak??" itu ;)
Abah sudah berpesan agar saya tidak merayau-rayau di sekitar KL kerana saya membawa bersama Saga FL tetapi baru sehari berada di sini, saya sudah tidak betah terperap di dalam rumah. Setelah "berjaya" memandu ke pasar mini berdekatan untuk membeli barang-barang keperluan, saya meneruskan agenda ke Bangi pada keesokan harinya selepas solat Asar. Pada mulanya, saya agak senang hati kerana tidak kekok meredah hutan batu KL memasuki Lebuhraya KL-Seremban menuju ke Bangi. Namun rasa itu tidak lama setelah saya tersasar masuk ke susur keluar ke UPM dan Seri Kembangan. Hendak membaca peta bulatan/lingkaran, saya tidak pandai. Maklumlah, selama ini hanya memandu di sekitar Muar dan Ledang, tiba-tiba mahu ke KL.
Saya tersesat masuk ke Jalan Lumba Kuda dan entah bagaimana boleh masuk ke pusat bandar Seri Kembangan hehe. Bukan sahaja lampu isyarat merah saya langgar (tak pernah berkelakuan begini tanpa sebab), malah bunyi hon bertalu-talu juga terpaksa saya abaikan kerana saya sudah terdesak mahu mencari jalan keluar. Mujur juga tiada polis trafik atau JPJ menahan ketika itu. Saya kembali memasuki lebuhraya ke arah KL. Akan tetapi nasib tidak menyebelahi saya ketika itu lantaran kesesakan lalu lintas. Maka terpaksalah saya masuk ke Bangi kerana waktu sudah hampir maghrib. Sesudah menunaikan solat Magrhib dan makan malam (saya tidak menunaikan solat jamak kerana tidak teringat untuk mengira jarak antara Bangi dengan Batu Caves, maklumlah baru pertama kali merayau sebegini)dan sempat menunaikan solat Isyak kerana bila perut sudah masuk angin, saya akan mengambil masa yang sungguh tidak logik untuk menghabiskan sepinggan nasi campur.
Oleh kerana saya membawa pakaian lebih, tiba-tiba saya seboleh-bolehnya mahu ke GMI, tempat saya pernah bekerja suatu masa dahulu. Lalu saya menghubungi majikan lama, memaklumkan mahu singgah ke tempatnya. Dia mengalu-alukan kedatangan saya. Buah tangan iaitu pisang sekotak yang dibekalkan abah masih ada dalam but kereta. Saya dengan begitu yakin meneruskan perjalanan berbekalkan panduan dari seorang atendan pam minyak. Sekali lagi malang buat saya apabila sisi kiri kereta bergesel dengan kereta lain yang sedang diparkir kerana saya tidak dapat menganggar keluasan dan jarak untuk keluar dengan tepat. Apabila sudah panik, lampu pun tidak saya hidupkan sehinggalah saya berjaya keluar dengan bantuan dari ALLAH jua yang telah menitipkan seorang pemandu untuk menunjuk arah pusingan stereng yang betul. Hon dan cercaan kedengaran lagi tetapi saya diamkan. Dalam hati,"Aku mahu pulang!"
Saya tidak tahu arah yang saya lalui betul atau tidak tetapi saya hanya mengikut kata hati dan bertawakal sehinggalah saya menemui simpang ke Lebuhraya KL. Papan tanda di hadapan saya menunjukkan ke arah Sri Petaling. Saya ikut juga kerana seingat saya, saya pernah terbaca alamat poskod Sri Petaling iaitu ia masih terletak dalam kawasan KL. Dalam hati saya berdoa agar selamat sampai semula ke rumah bapa saudara saya dan sudah berniat untuk menunaikan sujud syukur. Telinga saya terngiangkan bait-bait lagu Sesat di Kuala Lumpur nyanyian Dato' M.Nasir. Tertekan sungguh...
Alhamdulillah, akhirnya saya selamat tiba di destinasi sebelum jam 10.30 malam. Anda mungkin menjangkakan bahawa saya bermusafir seorang diri, bukan? Sebenarnya sepanjang lima jam perjalanan ini, saya ditemani oleh seorang rakan. Benarlah kata-kata jika ingin melihat bagaimanakah peribadi rakan kita, salah satunya hendaklah kita bermusafir bersamanya. Oleh itu, jadilah manusia yang berilmu. Teman yang dungu tidak berguna ketika bermusafir kerana anda akan menjadi beban yang menyakitkan hati apabila tidak dapat menunjuk jalan, malah menambahkan tekanan kepada teman. Perjalanan ini amat bermakna buat saya kerana kini saya telah tahu sedikit-sebanyak struktur jalan di KL sebelum saya berhijrah ke sana pada tahun hadapan, insya-ALLAH. Mudah-mudahan teman hidup yang akan menemani perjalanan saya selepas ini adalah insan yang bijak bestari.amin...
Benam Tottenham: United terus hambat kedudukan City
3 beberapa jam yang lalu


0 komentar:
Catat Ulasan