Petang tadi di dalam kelas Sabqi, tiba-tiba saya didatangi Cik Nas yang meminta saya agar menghantarnya membeli bahan-bahan makanan yang belum ada di sebuah pasaraya borong kerana pihak pengurusan madrasah merancang untuk mengadakan jamuan akhir tahun selepas solat asar. Sejurus menghidupkan enjin kereta, sepupu saya, Sofi masuk ke dalam kereta.
"Eh, Sofi pun ikut jugak ke?" tanya saya.
"Ha'a, sebab kena 3 orang kan.." jawab Cik Nas.
Saya terdiam sebentar. Dalam hati saya terfikir, agaknya beginilah cara hidup mereka di kawasan ini. Pergi ke kedai pun dikira musafirkah? (kerana dari apa yang pernah saya pelajari, yang dikatakan bermusafir itu sekurang-kurangnya 3 orang). Saya merasa begitu kerdil kerana telah banyak ilmu yang dikesampingkan lantaran tuntutan hidup seharian.
Kurang dua hari lagi, jika diizinkan ALLAH, saya akan meninggalkan tempat ini. Setelah hampir sepurnama berkelana ke perkampungan tarbiah seperti ini, tibalah masa saya kembali ke pangkuan keluarga yang disayangi.
Alhamdulillah, biah di sini nampaknya telah membentuk keyakinan saya sebagai seorang guru dalam banyak segi. Di sekolah tempat saya mengajar, saya hanya membahasakan diri saya sebagai "saya", tidak mampu menukar walau ke bahasa syurga iaitu "ana". Namun, entah mengapa saya merasa terpanggil untuk menggunakan ganti nama diri pertama itu ketika bertutur bersama para pelajar.
Selain itu, saya tidak pernah ada kekuatan untuk mengajar bab feqh tetapi di sini, tugas mengajar fardhu ain itu seolah-olah menjadi fardhu ain apabila saya lihat para pelajar tidak pernah berjemaah setiap kali masuknya solat fardhu di mana hal ini bagi saya adalah satu kekurangan yang sangat nyata dalam mentarbiah para pelajar, terutamanya mereka di aliran agama, apatah lagi masing-masing adalah pelajar tahfiz sepenuh masa. Berjemaah adalah kekuatan kita. Itulah yang diterapkan kepada saya ketika zaman belajar dulu-dulu. Untuk itu, langkah pertama saya adalah menjadi makmum masbuk kepada rakan sekerja saya di sini (kerana beliau tidak akan bersetuju jika saya memintanya menjadi imam); dengan cara "mencuri-curi" masuk ketika beliau sedang bersolat sendirian. Selepas itu, saya menjadi imam kepada seorang pelajar saya sewaktu solat Zohor dan kemudian barulah saya dapat mengajak semua pelajar agar mentatbiqkan solat berjemaah setiap waktu. Saya mengambil peluang sewaktu kelas fardhu ain untuk mengajar perkara-perkara seperti solat sunat gerhana bulan (tempoh hari) dan solat berjemaah. Syukur yang tidak terhingga kerana sekarang, anak-anak yang masih belum baligh sudah pandai menjadi makmum masbuk.
Tiba-tiba saya menjadi sangat rindu kepada masa muda yang telah saya tinggalkan. Kerinduan itu membawa saya menelusuri semula apa yang telah saya pelajari di sekolah, MARSAH dan Mesir. Kitab-kitab yang telah lama tidak dibuka saya baca dan ulangkaji kembali untuk mengajar mereka. Rutin harian di kelas saya selepas sesi saba' adalah doa dan hadis dari kitab Riyadhus Solihin dan selepas sesi sabqi, saya ajarkan tafsir, pengajaran dan apa yang saya dapat dari sebuah atlas tentang kisah-kisah yang tersebut di dalam al-Quran kepada para pelajar. Selepas tamat kelas, kami akan bersolat zohor bersama-sama sebelum makan tengah hari. Begitu juga sewaktu asar, maghrib dan Isyak. Solat subuh belum berjemaah lagi tetapi saya berharap dapat melaksanakannya bersama mereka dalam masa yang masih tersisa.
Mendidik sewaktu kecil umpama mengukir di atas batu dan mendidik sewaktu sudah dewasa seperti mengukir di atas air. Beza para pelajar di sekolah saya dengan para pelajar di sini amat ketara dari segi pengamalan ilmu. Pelajar sekolah saya banyak ilmu tetapi tidak diamalkan sedangkan para pelajar di sini walaupun menghafaz al-Quran, mereka tidak mengetahui banyak perkara (kecuali yang dipelajari di kelas fardhu ain atau kelas ta'alim bersama jemaah tabligh) kerana mereka tidak begitu terdedah kepada dunia luar. Namun apa yang mereka pelajari, terus ditatbiqkan dalam kehidupan seharian. Inilah yang mendorong saya sehingga berperasaan seperti kalau boleh, saya ingin mengeluarkan semua ilmu yang ada di dalam dada dan kepala saya kepada mereka, mudah-mudahan pahala dari ilmu yang dimanfaatkan itu akan saya dapat secara berterusan, insya-ALLAH...
Semalam beriya-iya mereka mengajak saya keluar. Rupa-rupanya mereka mahu membelanja saya makan yogurt beku (seakan-akan slurpee) yang sedap tetapi agak mahal harganya semata-mata terpengaruh dengan Najwa dan Cinta Mukabukunya itu. Hai budak-budak ni. Nama pun budak..:)
Lusa saya akan pulang ke tempat asal saya. Entah bila pula akan datang ke sini lagi.
All England: Chong Wei mara ke suku akhir
19 min yang lalu


0 komentar:
Catat Ulasan