Dua minggu lepas, saya dan keluarga berkesempatan menghadiri majlis walimah seorang sepupu di Kompleks Kastam Kelana Jaya. Alang-alang sudah sampai ke sana, saya membuat temujanji dengan Asma Ahmad Jahidi, sahabat suka duka di Mesir suatu masa dahulu. Pada mulanya kami berjanji hendak bertemu di rumah keluarganya sahaja di Kajang. Akan tetapi oleh kerana berlaku situasi yang tidak disangkakan, akhirnya dia mengubah rancangan untuk memandu terus ke Kompleks Kastam itu.
Sedang kami sekeluarga dalam perjalanan menuju destinasi, tiba-tiba hujan turun diikuti kilat sabung-menyabung. Saya menjadi bimbang untuk berbalas sms dengannya lagi lantaran kerap terbaca berita malapetaka menimpa mereka yang bermain sms atau bergayut di telefon bimbit ketika hujan turun.
Setibanya di sana, saya langsung menemui ibu saudara sepupu saya selaku tuan rumah untuk bersalaman dan bertanya khabar. Tidak lama kemudian, ketika berada di luar auditorium, saya ternampak sebuah Suzuki Swift berwarna hitam sedang memasuki perkarangan auditorium. Saya mengagak mungkin itulah kereta suami sahabat saya yang pernah diceritakannya suatu ketika. Saya pun terus ke kereta saya untuk mengambil beberapa barang yang perlu dibawa sebelum menaiki kereta Asma. Mujurlah saya membawa kunci pendua. Kunci yang satu lagi dipegang oleh abah yang sedang berada di dalam majlis tersebut.
Asma mengajak saya ke IOI Mall Puchong meskipun pada awalnya dia mahu membawa saya ke Sunway Pyramid. Saya sedikitpun tidak kisah, asalkan saya dapat bertemunya kerana kami memang tidak pernah bertemu sejak masing-masing pulang ke Malaysia dua tahun lalu. Sepanjang perjalanan, ibunya kerap menghubunginya kerana bimbang dia akan singgah di mana-mana. Saya ketawa kerana saya tahu sahabat saya itu memang seorang yang suka membuat keputusan secara spontan tanpa terlalu banyak berfikir seperti saya (suatu masa dahulu). Yang kelakarnya, sikapnya itu menjadi ikutan saya sekarang kerana saya sudah tidak mahu minda dan jiwa terbeban dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.
"Awak dah tak menulis lagi?" tanya Asma.
"Tak. Dah lama sangat nak menulis. Tak sempat," saya berterus-terang.
"Oh, sekarang dah sibuk bercinta dah tak sempat nak menulis ye?" dia tergelak.Saat itu, saya dapat merasakan air muka saya berubah walaupun dia tidak dapat melihat reaksi saya.
"Tak. Bukan pasal tu. Awak kan tahu, kat sekolah saya tu kekurangan guru tahfiz. Sepatutnya ada tiga orang tapi ada dua je. Ustaz yang sorang lagi tu pulak ada ajar madah lain jugak. Jadi banyak kerja dibebankan pada saya. Pelajar tahfiz tahun ni ramai. Lagipun dah takde mood nak menulis. Setakat tulis rancangan mengajar je."
Sebenarnya bukan Asma seorang yang bertanyakan perkara tersebut. Sejujurnya, keinginan menulis masih ada dalam jiwa saya. Namun apabila memikirkan banyak tugasan yang menanti, ditambah pula dengan kesukaran mendapat liputan internet menjadi penghalang untuk terus menitip khabar kepada rakan-rakan sekalian. Maaf jika ada yang beranggapan saya seperti mahu 'melarikan diri' walaupun saya pernah mengatakan ingin menjadikan blog ini sebagai diari. Para pelajar saya yang pernah membaca novel VT dan melihat nama saya di ruangan blurb juga ada bertanyakan tentang hal ini. Minat menulis belum berkubur, hanya ia menjadi kurang subur kerana faktor-faktor yang telah saya nyatakan di atas.
Baiklah, saya cuba ingat semula apa yang telah saya lakukan sepanjang ketiadaan saya di ruangan ini. Begini, selepas musim peperiksaan pertengahan tahun yang lalu,saya menghadiri kursus pedagogi di Hotel Seri Malaysia, Mersing. Kesulitan bermula apabila beberapa hari sebelum mengikuti kursus, komputer riba saya terjatuh dari sofa. Akibat hentakan itu, Aspire 4520 kesayangan saya masih 'dirawat' sehingga kini. Dalam musim cuti yang sama, C510 saya yang juga amat disayangi mengalami kerosakan yang sukar dipulihkan. Maka dengan duit gaji tertunggak selama beberapa bulan, saya pun membeli sebuah AspireOne D257 (saya masih setia dengan Acer) dan telefon genggam berjenama Samsung yang hanya berharga RM 80. Sebenarnya saya sangat meminati jenama Sony Ericsson. Akan tetapi sesudah empat buah SE yang saya miliki tidak mampu memenuhi keperluan saya, terpaksalah saya beralih kepada yang lain. Ingat, pisang hanya berbuah dua kali. Dua kali lagi dianggap sebagai penalti.
Selepas pulang dari berkursus, saya dan pasangan mula mencari dan membeli barang-barang hantaran untuk majlis pertunangan kami. Walaupun ketika itu sela masa antara cuti sekolah semester pertama dan majlis pertunangan masih banyak berbaki, kami perlu membuat persiapan lebih awal kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya. Mujurlah emak, abah dan Nadia turut sama menemani dan membantu kami yang tidak berpengalaman sepanjang proses pencarian tersebut. ini. Sekarang barulah saya tahu bahawa perjalanan ke gerbang perkahwinan bukan senang. Nyata ia menuntut kesabaran yang tinggi dari sekecil-kecil hinggalah sebesar-besar perkara. Tidak hairanlah jika ramai yang kecundang di pertengahan jalan kerana begitu banyak dugaan menanti. Alhamdulillah, syukur saya panjatkan kepada ALLAH swt kerana jodoh pilihan keluarga buat saya tidak cerewet orangnya.
Sebaik sahaja cuti sekolah tamat, markah dan analisa para pelajar perlu dikemukakan kepada pihak atasan. Apabila saya mengambil kerusi guru dan mendekatkannya ke meja pelajar kelas saya untuk mengumumkan keputusan peperiksaan, masih terasa debar seolah-olah saya masih bergelar pelajar dan hari itu guru akan menyebut nombor kedudukan saya di dalam kelas. Sebetulnya, kerjaya sebagai guru di sebuah sekolah menengah adalah salah satu dari sekian banyak cita-cita yang pernah saya miliki, begitu juga ingin menjadi guru tahfiz dan warden. Alhamdulillah, semuanya sedang saya lalui. Pengalaman menjadi warden sementara selama hampir tiga hari pula menjadikan saya merasa bernasib baik kerana tidak dilantik sebagai warden. Tanggungjawab menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar di asrama bukan mudah. Langsung tiada privasi dan sukar untuk berehat. Seringkali pintu bilik diketuk. Ada yang inginkan kebenaran untuk pulang ke kampung, outing, meminta tanda tangan, ada binatang berbisa masuk ke dalam surau dan macam-macam karenah lagi untuk ditangani. Cukuplah. Saya tidak mahu berangan yang bukan-bukan lagi.
1 Julai, satu lagi peristiwa bersejarah dalam hidup saya iaitu Hari Terbuka sekolah. Mesyuarat PIBG dan majlis penyampaian hadiah juga diadakan pada hari yang sama. Sehari sebelum majlis diadakan, saya ditugaskan membuat buku program; satu lagi keinginan saya. Ketika di Mesir, saya hanya terlibat sebagai editorial bahan tanpa ditugaskan untuk proses percetakan. Justeru itu, peluang yang datang kepada saya kali ini menambah lagi pengetahuan yang sedia ada.
Simply better.
Ada satu lagi kegembiraan yang ingin saya kongsikan bersama anda iaitu kereta yang saya tempah pada bulan April selamat sampai ke rumah beberapa hari sebelum bermula cuti sekolah. Jadi seminggu sebelum pulang ke asrama, setiap petang abah dan Nadia akan menemani saya menajamkan semula skil memandu secara berperingkat kerana saya sudah begitu lama tidak memandu walaupun lesen kelas D telah saya perolehi dan diperbaharui dari tahun 2005 sehingga sekarang. Dari hanya meronda di sekitar kawasan perumahan tempat tinggal kami, abah mengajak saya ke Taman Pagoh Jaya, seterusnya ke pekan Pagoh tetapi latihan terhenti setakat di hadapan deretan kedai di Jalan Besar kerana jalan sibuk. Begitu kata abah yang amat bimbangkan keselamatan anak gadisnya ini. Selepas dua hari, abah menyuruh saya memandu ke sekolah tempat saya mengajar. Pada hari berikutnya, abah menambahkan jarak latihan saya sehingga ke Muar ketika menghantar emak menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Pakar Sultanah Fatimah. Selang beberapa ketika, destinasi seterusnya ialah tempat lahir saya iaitu Kg Semerah Darat, Batu Pahat. Berikutnya, saya memandu melalui lebuhraya ke Ayer Hitam dan Nilai. Akhirnya abah melepaskan saya memandu seorang diri dari rumah ke sekolah setelah saya membawa emak dan Nadia pulang ke kampung ketika abah tidak dapat menemani kami pada suatu ketika.
Pertengahan bulan Julai, Along menemani saya ke Kota Tinggi untuk menghadiri kursus di Mutiara Motor Beach Resort, Tg Sedili. Perjalanan yang jauh dari Pagoh ke sana memaksa kami bermalam sehari sebelumnya di rumah ibu saudara kami. Saya merasa seronok kerana dalam musafir kali ini, abah membekalkan kami beberapa tandan pisang dan satu plastik besar berisi limau kasturi untuk disedekahkan kepada saudara-mara yang sempat kami ziarahi. Keluar dari lebuhraya Kulai, kami merancang untuk singgah di rumah Ustazah Rubiah di Jalan Kulai-Kota Tinggi. Namun oleh kerana sudah hampir masuk waktu maghrib, kami menukar arah ke Taman Sri Perang (tempat tinggal kami selama 20 tahun sebelum berhijrah ke sini). Along menuju ke Masjid Al-Mukhlisin manakala saya pula ke rumah Cik Sidah. Selepas itu, kami ke kedai makan Mella Tomyam di Kg Batu 25 untuk makan malam. Tanpa disangka-sangka, pemilik kedai yang kami panggil Mak Milah membelanja kami berdua kerana terharu apabila kami tidak lupa untuk singgah di situ. Sebenarnya Mak Milah dan suaminya, arwah Pak Anjang adalah guru mengaji kami sewaktu kecil. Seterusnya, kami ke rumah ibu saudara di Taman Kota Jaya. Keesokan paginya, ibu saudara kami yang akan ke tempat kerja sempat menyediakan sarapan dan membawakan bekalan kepada kami yang akan berjalan jauh ke Sedili iaitu mi goreng udang dan samosa yang sungguh menyelerakan.
Saya secara peribadi sememangnya suka menyertai program-program yang dapat menambahkan pengetahuan seperti seminar, kursus, bengkel, ihtifal dan lawatan sambil belajar. Apa yang menyeronokkan saya, sepanjang mengikuti program-program yang diadakan, saya berkesempatan menemui beberapa orang rakan dan kenalan yang sudah lama tidak ditemui. Di Pasir Gudang, saya menemui rakan sekelas saya ketika di Tingkatan 1. Di Mersing, penceramah utama kursus adalah teman baik emak yang sedari kecil hanya saya kenali namanya. Ketika menjadi guru pengiring Ihtifal Ilmiah, saya menemui senior saya ketika di MARSAH iaitu Kak Mardhiah Thaha dan Noreha Mahat yang sering disangka orang sebagai adik-beradik saya semasa di Mansurah. Di program Ihtifal Riyadhi, saya menemui Teacher Aslinda Abbas yang pernah mengajar saya di MARSAH dan seorang rakan sekelas dari Darjah 1 hingga 3 manakala di Tg Sedili, saya menemui Ustaz Azmi Mamat dan Ustazah Mastura, kedua-duanya guru saya di SMKABP, Kak Sharifah Talhah, senior DQ yang pernah menziarahi Along di PPUM pada 2003 dan Kak Norida, jiran bilik sebelah di MARSAH.
Sehari sebelum umat Islam berpuasa, majlis merisik yang hanya diadakan secara kecil-kecilan telah berlangsung di rumah saya.
Apabila Ramadan menjelma, saya menjalani rutin baharu iaitu berpuasa di asrama bersama para pelajar. Jam 4.30 pagi bila siren berbunyi, saya juga akan ke dewan makan seperti mereka untuk mengambil makanan buat bersahur. Selepas solat subuh dan bacaan manzil, saya akan tidur dan bangun pada jam 6.30 pagi untuk bersiap ke sekolah. Pulang dari sekolah, jam 3 petang ketika para pelajar menuju ke kelas persediaan, saya pula ke kelas tambahan untuk para pelajar Tahfiz Tingkatan 1 kerana pada tahun ini, mudir tidak membenarkan mata pelajaran tahfiz dimasukkan ke dalam jadual P & P atas sebab-sebab tertentu. Pada pendapat saya, kebaikan diadakan kelas tambahan adalah para pelajar lebih selesa untuk menghafaz dan memperdengarkan hafazan kepada guru kerana saya mengasingkan kelas dan waktu belajar untuk pelajar putera dan puteri. Saya fikir cara ini perlu kerana ada hal-hal yang sukar dinyatakan sekiranya pelajar putera ada bersama. Selain itu, para pelajar boleh mendapat input-input baharu di luar lingkungan sukatan pelajaran kerana tidak terikat dengan jadual waktu formal. Tamat kelas tambahan, saya akan pulang ke asrama untuk berehat sebentar sebelum ke bazar Ramadan bersama anak dara pakcik Din dan Pakcik Abd Jalil atau para pelajar ‘terpilih’ yang asyik ‘mengendeng’, “Ustazah, nak ikut gi bazar...”
Jarak perjalanan ulang-alik dari rumah ke sekolah ini lebih kurang 40 km. Walau bagaimanapun, mengenangkan kebosanan yang saya alami ketika tinggal di asrama dan kesibukan emak yang hendak memasak, menjahit dan membuat persiapan hari raya serta majlis pertunangan saya dalam satu masa, maka saya lebih kerap pulang ke rumah selepas mengadakan kelas tambahan daripada bermalam di asrama. Barang-barang saya angkut sedikit demi sedikit ke rumah sehinggalah majlis penutup Ihya’ Ramadan pada 26 Ogos lalu di mana abah yang mengambil saya di asrama, langsung membawa bersama baki barang-barang yang tidak dapat dimuatkan dalam kereta kecil saya.
Hantaran yang paling saya suka
Syawal tahun ini amat berbeza buat saya jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya lantaran kepenatan dan kesibukan berganda. Apapun saya bersyukur segala yang dirancangkan menjadi kenyataan dan kami sekeluarga masih berkesempatan mengadakan rumah terbuka raya untuk sahabat handai dan saudara mara.
Selepas cuti hari raya tamat, hampir setiap hari saya pulang lewat ke rumah kerana mengemaskinikan fail dan menyambung kelas tambahan yang tergendala lantaran cuti sekolah. Ada ura-ura mengatakan bahawa pentaksir akan datang untuk menilai keseluruhan prsetasi sekolah dan asrama. Ada kalanya saya sampai ke rumah lebih lewat dari emak yang bekerja pejabat sehinggakan seorang pelajar bertanya, "Ustazah dah tiga minggu balik petang kan?"
"Eh, awak kira eh?" Saya terkejut.
Minggu lepas peperiksaan PMR telah berakhir manakala mulai Isnin lalu para pelajar Tingkatan 2 mula menduduki peperiksaan SMRA. Minggu depan bermulalah peperiksaan akhir tahun untuk para pelajar Tingkatan 1. Selepas itu, peperiksaan SMA pula mengambil tempat, diikuti peperiksaan akhir tahun (mata pelajaran akademik Arab) untuk para pelajar Tingkatan 3 dan mata pelajaran akademik Melayu untuk para pelajar Tingkatan 2. Walaupun penat dan kurang rehat, saya tetap akan meneruskan tugas saya sehingga waktu yang ditentukan-Nya kerana saya adalah seorang guru. Menjadi guru adalah cita-cita yang saya simpan sejak saya berada di bangku tadika. Saya ingin menjadi guru yang bukan sahaja mengajar malah berupaya mentarbiah anak-anak didik saya sebelum saya mendidik anak-anak sendiri pula suatu hari nanti.
Insya-ALLAH saya akan menulis lagi apabila berkesempatan nanti.
*Entri ini ditulis sedikit-sedikit, dari bilik guru pada 13/10/11 dan disiapkan di makmal bahasa pada hari berikutnya.
Benam Tottenham: United terus hambat kedudukan City
3 beberapa jam yang lalu


0 komentar:
Catat Ulasan