Dulu, selalu juga saya dengar orang kata mereka yang bertunang ini darahnya manis. Manis kepada orang atau kepada nyamuk, tidak pula saya ambil tahu. Akan tetapi saya akui jika dikatakan masa bertunang banyak dugaan. Sesiapa yang pernah menempuhnya akan tahu bagaimana rasanya berada di alam pertunangan. Sebab itulah orang tua-tua berkata, tidak elok bertunang lama-lama.
Saya tidak ingat sama ada saya pernah bercerita di laman ini tentang penyakit versi "Misteri Nusantara" yang pernah saya alami sejak belum melanjutkan pengajian ke Mesir lagi. Gangguan yang datang bukan sekadar mimpi-mimpi yang dianggap orang sebagai mainan tidur, malah beberapa jenis "bahan terbuang" pernah dikeluarkan dari tubuh saya. Saya perasan bahawa gangguan-gangguan sebegitu kian menjadi-jadi setelah saya bergelar tunangan orang. Mujurlah setiap kali hal itu berlaku, saya dapat merasai kehadirannya, lantas dapatlah saya bersegera mencari penawar menghilangkan sakit. Kasihan kepada mereka di sekeliling saya, terutamanya tunang yang merasai sedikit-sebanyak tempiasnya kerana apabila sakit datang, perasaan saya kepadanya turut berubah dan saya mudah marah-marah tanpa sebab yang munasabah.
Kata seorang rakan sekerja saya, dulu sebelum bertunang, hati sering bertanya siapakah agaknya lelaki yang ditakdirkan untuk kita. Saya sendiri selalu cuba-cuba mencungkil rahsia rakan-rakan yang akan dan sudah berumahtangga tentang bagaimana mereka boleh jatuh cinta, bagaimana mendapat cinta sejati, bagaimana rasanya hidup bersama dengan pasangan yang bukan sahaja lain jantinanya tetapi datang dari planet yang berbeza, dengan cara berfikir dan cara hidup yang berbeza, bagaimana dan bagaimana sehingga saya membaca artikel-artikel seperti tentang cara membuat lelaki jatuh cinta, cara mengetahui seseorang itu adalah jodoh kita, malah pernah juga saya tersasar sehingga mencari bagaimana untuk menarik bekas kekasih kembali ke pangkuan kita dengan pendekatan psikologi. Menarik bunyinya kan? Harus diakui bahawa cara itu memang berkesan tetapi tidak perlulah diamalkan kecuali anda memang betul-betul orang yang terdesak untuk mencari pasangan dan tidak kisah membina bahagia di atas derita orang lain (jika ketika itu bekas kekasih anda sudah berteman) tetapi sanggupkah anda berbuat demikian? Jika tidak, lupakan sahaja niat "jahat" anda itu sebab jika dia bukan jodoh anda, percayalah, kalian tidak akan bersatu walau dengan apa cara jua.
"Kalau mencari teman, janganlah memandang luaran, cari yang beriman"
Ketika itu saya terfikir bahawa saya perlu kembali membuka hati agar cinta yang sebenar tidak berlalu pergi sehinggalah saya menemui satu cerita pengalaman seorang andalusia di sebuah akhbar nasional negara dan antara kata-katanya yang masih saya ingat adalah untuk mendapat jodoh, jalan pertama adalah dengan mendekatkan diri kepada ALLAH swt. Jauhi maksiat, gandakan ibadat. Itulah sebenarnya yang membawa saya kepada dia yang tidak disangka-sangka.Pelik betul kerja TUHAN. Merantau jauh-jauh, rupanya jodoh di hadapan mata sahaja. Pusing punya pusing, berselisih faham, bergaduh "macam nak rak", bertemu juga akhirnya. Tak suka tak suka akhirnya suka suka suka ^_^
Dalam kesibukan membuat persiapan ke alam perkahwinan, ramai juga yang menghadapi dilema seperti ini; tiba-tiba ahli kelab bekas kekasih ingin kembali bersama kenangan-kenangan manis yang pernah dicipta dan cuba menutup kesilapan silam yang menjadi pemutus segala kemesraan. Ujian lain adalah apabila calon-calon yang selama ini tersembunyi, jadi timbul semula. Selepas bertunang barulah kawan emak berkata, "Ada anak angkat kita yang kerja peguam syariah. Orangnya putih, hensem, kalau dengan Angah sesuailah.." (Ceh macamlah dia tahu taste saya macam mana kan?) Selepas bertunang baru kawan-kawan abah bercerita tentang anak-anak bujang mereka yang sebaya saya dan berkerjaya hebat tetapi masih belum berpunya. Selepas bertunang baru Cik Tun nak beritahu saya yang Wak Jamal berkenan sungguh nak jadikan saya menantunya ketika saya khabarkan bahawa saya berasa sedih apabila isteri Wak Jamal meninggal dunia sebaik sahaja habis mengerjakan haji kerana saya baru sekali bertemunya. "Dia memang nak sangat jumpa kau sebelum dia pergi," kata Mak Tun. Oh Mak Tun, Mak Tun. Selama ini sudah acapkali saya bersarapan dengan makcik-makcik cleaner tetapi tidak pula dia tergerak hendak membuka cerita. Begitu juga pak haji tuan punya kedai kain di Bukit Gambir yang melamar saya untuk anaknya sebelum saya memberitahu status diri. "Oh, pakcik ni dah terlambatlah ye?" Saya senyum sahaja. Begitulah kalau bukan jodoh...
Kalau kita tidak kuat iman dan tidak setia mempertahankan cinta, mudah sahaja terbawa arusnya sedangkan ini semua adalah "cobaan..." Barangkali itulah antara faktor mengapa terjadinya putus tunang atau tragedi pengantin lari. Saya tinggalkan anda dengan ayat klise yang memang benar dan tidaklah ia melainkan yang benar belaka, "Apapun, jodoh pertemuan adalah urusan TUHAN. Manusia hanya merancang, TUHAN yang menentukan." Kepada mereka yang baru atau sedang memasuki fasa pertunangan, mudah-mudahan kita semua dapat mempertahankan ikatan pertunangan dan terselamat dari kisah cinta tragis meskipun darah yang manis bukan akibat diabetis. Insya-ALLAH, amin...
Renungan bersama
Dan KAMI akan memberi kamu taufik ke jalan yang mudah. Oleh sebab itu, berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermanfaat.
(al-A'laa:8-9)
Kata alu-aluan
Papan kenyataan
-
Pembangkang pentingkan parti dari perjuangan Islam - Tun M26 min yang lalu
-
Pelancaran " Kempen Prihatin Syria " Mendapat Sambutan9 beberapa jam yang lalu
-
Sastera Islam: Antara Dakwah dan Komersialisme4 beberapa minggu yang lalu
-
Sastra Kampung Halaman9 beberapa blan yang lalu
-
Ucapan Presiden PMRAM 20119 beberapa blan yang lalu
-
PEMAKLUMAN PERMOHONAN ZAKAT MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR2 beberapa tahun lalu
Arkib
Sedang diikuti
-
Maaf: Konvensyen Fiqh al-Ummah (K-FIQH)52 min yang lalu
-
NFC: dari Perspektif Ingroup-Outgroup3 beberapa hari yang lalu
-
علامات الساعة Hadith Akhir Zaman: 11. Rasuah Berleluasa | ArabMykrk.com [Digg]3 beberapa hari yang lalu
-
Najis tu!1 minggu yang lalu
-
APRESIASI UNTUK AJK PELAKSANA PPMN 20111 bulan yang lepas
-
Pengumuman : Penyertaan Utk Melaksanakan Umrah Bersama Ustaz Mohd Nazrul telah DiTutup9 beberapa blan yang lalu
-
Karya Terkini Faisal Tehrani di Pesta Buku Antarabangsa KL 201110 beberapa blan yang lalu
Sahabat Qiraat
Rakan penulis (Adabuna)
Rakan Blogger
Rakan penulis (GKLN)
- denai kehidupan (53)
- rasa di dalam jiwa (36)
- Kongsi bersama (27)
- Muhasabah (17)
- Refleksi (13)
- Tazkirah asy-Syafi'e (9)
- rehat sekejap... (6)
- iklan (5)
- Resensi (4)
- album jaulah (4)
- iklan jawatan kosong (4)
- semasa (4)
- Ahlul Quran (3)
- Ulum al-Quran (3)
- ingatan untuk... (3)
- Personal Favourites (2)
- mula (2)
- sastera (2)
- Keibubapaan (1)
Petang tadi di dalam kelas Sabqi, tiba-tiba saya didatangi Cik Nas yang meminta saya agar menghantarnya membeli bahan-bahan makanan yang belum ada di sebuah pasaraya borong kerana pihak pengurusan madrasah merancang untuk mengadakan jamuan akhir tahun selepas solat asar. Sejurus menghidupkan enjin kereta, sepupu saya, Sofi masuk ke dalam kereta.
"Eh, Sofi pun ikut jugak ke?" tanya saya.
"Ha'a, sebab kena 3 orang kan.." jawab Cik Nas.
Saya terdiam sebentar. Dalam hati saya terfikir, agaknya beginilah cara hidup mereka di kawasan ini. Pergi ke kedai pun dikira musafirkah? (kerana dari apa yang pernah saya pelajari, yang dikatakan bermusafir itu sekurang-kurangnya 3 orang). Saya merasa begitu kerdil kerana telah banyak ilmu yang dikesampingkan lantaran tuntutan hidup seharian.
Kurang dua hari lagi, jika diizinkan ALLAH, saya akan meninggalkan tempat ini. Setelah hampir sepurnama berkelana ke perkampungan tarbiah seperti ini, tibalah masa saya kembali ke pangkuan keluarga yang disayangi.
Alhamdulillah, biah di sini nampaknya telah membentuk keyakinan saya sebagai seorang guru dalam banyak segi. Di sekolah tempat saya mengajar, saya hanya membahasakan diri saya sebagai "saya", tidak mampu menukar walau ke bahasa syurga iaitu "ana". Namun, entah mengapa saya merasa terpanggil untuk menggunakan ganti nama diri pertama itu ketika bertutur bersama para pelajar.
Selain itu, saya tidak pernah ada kekuatan untuk mengajar bab feqh tetapi di sini, tugas mengajar fardhu ain itu seolah-olah menjadi fardhu ain apabila saya lihat para pelajar tidak pernah berjemaah setiap kali masuknya solat fardhu di mana hal ini bagi saya adalah satu kekurangan yang sangat nyata dalam mentarbiah para pelajar, terutamanya mereka di aliran agama, apatah lagi masing-masing adalah pelajar tahfiz sepenuh masa. Berjemaah adalah kekuatan kita. Itulah yang diterapkan kepada saya ketika zaman belajar dulu-dulu. Untuk itu, langkah pertama saya adalah menjadi makmum masbuk kepada rakan sekerja saya di sini (kerana beliau tidak akan bersetuju jika saya memintanya menjadi imam); dengan cara "mencuri-curi" masuk ketika beliau sedang bersolat sendirian. Selepas itu, saya menjadi imam kepada seorang pelajar saya sewaktu solat Zohor dan kemudian barulah saya dapat mengajak semua pelajar agar mentatbiqkan solat berjemaah setiap waktu. Saya mengambil peluang sewaktu kelas fardhu ain untuk mengajar perkara-perkara seperti solat sunat gerhana bulan (tempoh hari) dan solat berjemaah. Syukur yang tidak terhingga kerana sekarang, anak-anak yang masih belum baligh sudah pandai menjadi makmum masbuk.
Tiba-tiba saya menjadi sangat rindu kepada masa muda yang telah saya tinggalkan. Kerinduan itu membawa saya menelusuri semula apa yang telah saya pelajari di sekolah, MARSAH dan Mesir. Kitab-kitab yang telah lama tidak dibuka saya baca dan ulangkaji kembali untuk mengajar mereka. Rutin harian di kelas saya selepas sesi saba' adalah doa dan hadis dari kitab Riyadhus Solihin dan selepas sesi sabqi, saya ajarkan tafsir, pengajaran dan apa yang saya dapat dari sebuah atlas tentang kisah-kisah yang tersebut di dalam al-Quran kepada para pelajar. Selepas tamat kelas, kami akan bersolat zohor bersama-sama sebelum makan tengah hari. Begitu juga sewaktu asar, maghrib dan Isyak. Solat subuh belum berjemaah lagi tetapi saya berharap dapat melaksanakannya bersama mereka dalam masa yang masih tersisa.
Mendidik sewaktu kecil umpama mengukir di atas batu dan mendidik sewaktu sudah dewasa seperti mengukir di atas air. Beza para pelajar di sekolah saya dengan para pelajar di sini amat ketara dari segi pengamalan ilmu. Pelajar sekolah saya banyak ilmu tetapi tidak diamalkan sedangkan para pelajar di sini walaupun menghafaz al-Quran, mereka tidak mengetahui banyak perkara (kecuali yang dipelajari di kelas fardhu ain atau kelas ta'alim bersama jemaah tabligh) kerana mereka tidak begitu terdedah kepada dunia luar. Namun apa yang mereka pelajari, terus ditatbiqkan dalam kehidupan seharian. Inilah yang mendorong saya sehingga berperasaan seperti kalau boleh, saya ingin mengeluarkan semua ilmu yang ada di dalam dada dan kepala saya kepada mereka, mudah-mudahan pahala dari ilmu yang dimanfaatkan itu akan saya dapat secara berterusan, insya-ALLAH...
Semalam beriya-iya mereka mengajak saya keluar. Rupa-rupanya mereka mahu membelanja saya makan yogurt beku (seakan-akan slurpee) yang sedap tetapi agak mahal harganya semata-mata terpengaruh dengan Najwa dan Cinta Mukabukunya itu. Hai budak-budak ni. Nama pun budak..:)
Lusa saya akan pulang ke tempat asal saya. Entah bila pula akan datang ke sini lagi.
Sedar tak sedar, seminggu sudah saya lalui di rumah bapa saudara saya yang rupa-rupanya telah diwakafkan menjadi asrama untuk anak-anak gadis yang ingin menyandang gelar hafizah. Setiap pagi sebelum subuh, mereka akan bersolat tahajjud, kemudian ada juga yang menyambung hafazan. Selepas subuh mereka tidur sebentar. Kelas akan saya mulakan pada jam 8 pagi manakala rakan saya pada jam 8.30 pagi. Jam 9 pagi, kelas sabak (hafazan baharu) ini akan berakhir dan mereka akan makan beramai-ramai menggunakan talam dengan juadah sarapan yang dibawa sedikit-sedikit dari rumah masing-masing. Kadang-kadang saya juga akan menyediakan sarapan yang mudah sebelum masuk ke kelas seperti cucur jagung atau pisang dan menanak nasi agar mereka hanya perlu memasak lauk untuk makan tengah hari.
Selepas sarapan bersama-sama mereka, masing-masing akan menunaikan solat dhuha sebelum masuk semula ke kelas jam 10 pagi untuk mengikuti kelas sabqi (hafazan lepas yang baharu diperdengarkan kepada guru). Kira-kira jam 12 tengah hari, kelas ini akan berakhir dan disambung semula pada jam 2 petang selepas qailulah sebentar, solat zohor dan makan tengah hari, juga secara berjemaah. Kelas di sebelah petang ini leih menekankan tentang hafazan lama yang disebut sebagai amokhta (perkataan-perkataan pelik ini diambil dari bahasa Turki kerana kebanyakan madarasah persendirian seperti ini menggunakan sistem Turki). Pada sebelah petang, bermulalah aktiviti bebas untuk mereka sama ada khidmat diri, menghadiri usrah, majlis ta'alim dan ada juga antara mereka yang mengambil peluang untuk beriadah seperti bermain badminton, basikal atau menunggang motosikal (biasalah,nama pun budak-budak...)
Pada sebelah malam selepas solat maghrib, mereka akan terus menghafaz sehingga isyak sebelum makan malam dan sebelum tidur akan terus menghafaz dan menghafaz dan menghafaz dan begitulah seterusnya hari-hari yang mereka lalui. Tanpa televisyen, tanpa internet, fuhh bagaimanalah agaknya mereka boleh bertahan (tetapi ramai yang memiliki telefon genggam sendiri) dalam mengharungi hidup penuh "pancaroba" ini? Saya sendiri terpaksa meninggalkan jauh-jauh Buletin Utama TV3, Merlin, Cinta Elysa dan Deko Bersama Eric yang "kan..kan..haa cantik tak??" itu ;)
Abah sudah berpesan agar saya tidak merayau-rayau di sekitar KL kerana saya membawa bersama Saga FL tetapi baru sehari berada di sini, saya sudah tidak betah terperap di dalam rumah. Setelah "berjaya" memandu ke pasar mini berdekatan untuk membeli barang-barang keperluan, saya meneruskan agenda ke Bangi pada keesokan harinya selepas solat Asar. Pada mulanya, saya agak senang hati kerana tidak kekok meredah hutan batu KL memasuki Lebuhraya KL-Seremban menuju ke Bangi. Namun rasa itu tidak lama setelah saya tersasar masuk ke susur keluar ke UPM dan Seri Kembangan. Hendak membaca peta bulatan/lingkaran, saya tidak pandai. Maklumlah, selama ini hanya memandu di sekitar Muar dan Ledang, tiba-tiba mahu ke KL.
Saya tersesat masuk ke Jalan Lumba Kuda dan entah bagaimana boleh masuk ke pusat bandar Seri Kembangan hehe. Bukan sahaja lampu isyarat merah saya langgar (tak pernah berkelakuan begini tanpa sebab), malah bunyi hon bertalu-talu juga terpaksa saya abaikan kerana saya sudah terdesak mahu mencari jalan keluar. Mujur juga tiada polis trafik atau JPJ menahan ketika itu. Saya kembali memasuki lebuhraya ke arah KL. Akan tetapi nasib tidak menyebelahi saya ketika itu lantaran kesesakan lalu lintas. Maka terpaksalah saya masuk ke Bangi kerana waktu sudah hampir maghrib. Sesudah menunaikan solat Magrhib dan makan malam (saya tidak menunaikan solat jamak kerana tidak teringat untuk mengira jarak antara Bangi dengan Batu Caves, maklumlah baru pertama kali merayau sebegini)dan sempat menunaikan solat Isyak kerana bila perut sudah masuk angin, saya akan mengambil masa yang sungguh tidak logik untuk menghabiskan sepinggan nasi campur.
Oleh kerana saya membawa pakaian lebih, tiba-tiba saya seboleh-bolehnya mahu ke GMI, tempat saya pernah bekerja suatu masa dahulu. Lalu saya menghubungi majikan lama, memaklumkan mahu singgah ke tempatnya. Dia mengalu-alukan kedatangan saya. Buah tangan iaitu pisang sekotak yang dibekalkan abah masih ada dalam but kereta. Saya dengan begitu yakin meneruskan perjalanan berbekalkan panduan dari seorang atendan pam minyak. Sekali lagi malang buat saya apabila sisi kiri kereta bergesel dengan kereta lain yang sedang diparkir kerana saya tidak dapat menganggar keluasan dan jarak untuk keluar dengan tepat. Apabila sudah panik, lampu pun tidak saya hidupkan sehinggalah saya berjaya keluar dengan bantuan dari ALLAH jua yang telah menitipkan seorang pemandu untuk menunjuk arah pusingan stereng yang betul. Hon dan cercaan kedengaran lagi tetapi saya diamkan. Dalam hati,"Aku mahu pulang!"
Saya tidak tahu arah yang saya lalui betul atau tidak tetapi saya hanya mengikut kata hati dan bertawakal sehinggalah saya menemui simpang ke Lebuhraya KL. Papan tanda di hadapan saya menunjukkan ke arah Sri Petaling. Saya ikut juga kerana seingat saya, saya pernah terbaca alamat poskod Sri Petaling iaitu ia masih terletak dalam kawasan KL. Dalam hati saya berdoa agar selamat sampai semula ke rumah bapa saudara saya dan sudah berniat untuk menunaikan sujud syukur. Telinga saya terngiangkan bait-bait lagu Sesat di Kuala Lumpur nyanyian Dato' M.Nasir. Tertekan sungguh...
Alhamdulillah, akhirnya saya selamat tiba di destinasi sebelum jam 10.30 malam. Anda mungkin menjangkakan bahawa saya bermusafir seorang diri, bukan? Sebenarnya sepanjang lima jam perjalanan ini, saya ditemani oleh seorang rakan. Benarlah kata-kata jika ingin melihat bagaimanakah peribadi rakan kita, salah satunya hendaklah kita bermusafir bersamanya. Oleh itu, jadilah manusia yang berilmu. Teman yang dungu tidak berguna ketika bermusafir kerana anda akan menjadi beban yang menyakitkan hati apabila tidak dapat menunjuk jalan, malah menambahkan tekanan kepada teman. Perjalanan ini amat bermakna buat saya kerana kini saya telah tahu sedikit-sebanyak struktur jalan di KL sebelum saya berhijrah ke sana pada tahun hadapan, insya-ALLAH. Mudah-mudahan teman hidup yang akan menemani perjalanan saya selepas ini adalah insan yang bijak bestari.amin...
Sejak kebelakangan ini, saya merasa begitu tertekan kerana ada halangan besar dalam usaha saya mentarbiah diri sendiri ke arah kebaikan. Masalahnya adalah halangan itu perlu saya tempuh setiap hari selagi masalah itu berada di sini. Menjauhkan diri semata-mata dari masalah ini tidak akan membawa kepada jalan penyelesaian.
Kalau diikutkan rasa hati (yang tidak bersih) ini, mahu sahaja saya lari jauh-jauh ke suatu tempat di mana halangan itu tidak ada. Namun saya teringat pula pesan anak Pakcik Saif tiga tahun lepas, "Ko jangan ajar diri ko sifat macam tu. Ada masalah je ko nak lari.." bila saya terdetik di dalam hati mahu ke rumah Asma, Zulfa dan Kak Khalida. 
Apapun sejak menjadi guru, saya belajar sedikit demi sedikit bersikap matang dan berpemikiran wajar walaupun kadang-kadang hati saya tidak waja, lantas saya terfikir akan kemungkinan-kemungkinan buruk yang bakal berlaku di dalam perjalanan saya dan itulah yang membuatkan saya masih betah berada di sini sekurang-kurangnya dua tiga hari lagi sebelum membawa bersama beban ini ke rumah ibu saudara saya yang meminta saya memperuntukkan masa dalam cuti sekolah ini untuk membantu anak-anak madrasah mengulangkaji hafazan al-Quran. Masih segar di ingatan saya akan peristiwa-peristiwa manis ketika ke Terengganu bulan lalu apabila saya berpeluang menemui sahabat-sahabat seperjuangan, para penghafaz al-Quran. Mudah-mudahan kedamaian yang saya cari akan datang juga di sana nanti.
Esok insya-ALLAH akan menjadi hari terakhir bagi sesi persekolahan tahun 2011 di negeri-negeri Kumpulan B. Tadi waktu rehat Amal ajak saya makan roti canai kat Bukit Gambir. Masa nak keluar dari kereta, tiba-tiba dia cakap, "Alamak, kak kita tertinggal dompetlah." Saya pun tanya dengan air muka serius, "Eh, biar betul? Tak pe ke tak bawak lesen? Nanti kalau awak cakap awak orang Malaysia pun orang tak percaya tau sebab takde IC" sedangkan dalam hati saya nak tergelak pun ada. Teringat cerita-cerita lawak bodoh yang pernah saya lihat di tv sebelum ni tentang taktik orang nak minta dibelanja hehe. Tapi tak kisahlah sebab memang saya dah niat nak belanja dia. Lagipun selama ni tak pernah lagi keluar dengan dia di luar atau dalam waktu pejabat.
Sebelum pulang ke sekolah, saya sempat singgah di kedai beli barang dapur sikit. Mak berkursus di Melaka mulai semalam hingga esok. Maka, sayalah yang jadi orang dapur. Sampai di sekolah, sebelum masuk ke bilik guru, saya nampak kasut anak dara Pakcik Din dan Pakcik Jalil. Rasanya macam baru hari ni saya dapat beramah mesra dengan mereka macam dulu-dulu sebelum tragedi Aidiladha itu berlaku.
Saya akur bahawa semua orang boleh berubah. Masa berubah,orang pun berubah. Kawan boleh jadi lawan. Lawan boleh jadi kawan sebab hati manusia memang selalu berbolak-balik. Macam juga hati saya dan hati mereka. Apapun kita perlu muhasabah diri dari masa ke semasa agar kita sentiasa sedar di mana diri kita berada. Kita semua sama.
Sejak tinggal di rumah, banyak perkara yang nampak macam saya ambil mudah. Sebenarnya bukan macam tu (alasan) tapi saya rasa banyak perkara yang lebih penting untuk difikirkan. Telefon genggam sering tertinggal. Bersolek pun ala kadar, setakat menepek bedak di pipi dan minyak gamat SAFI atau minyak zaitun yang dibeli di Mesir suatu masa dahulu (lama tu). Nak pakai pelembap pun tak sempat. Lagipun susah nanti nak bersihkan kesan minyak kalau nak bersolat dhuha. Jadi semua orang di sekolah tahu bagaimana rupa sebenar saya :)
Setiap hari saya keluar dari rumah kira-kira jam 6.50 pagi. Dulu masa tinggal di asrama, lebih kurang waktu begini juga saya akan ke sekolah kerana jadual P & P bermula pada jam 7.25 pagi. Bezanya, dulu saya hanya mengambil masa 5 minit untuk berjalan kaki dari asrama melalui bangunan dewan makan, seterusnya memberi salam kepada Cik Rahim, bersalaman dengan Mak Ton dan Cik Won, mengetik kad kedatangan, kemudian barulah saya ke bilik guru untuk membuat persediaan selama beberapa minit sebelum masuk ke kelas untuk mengajar.
Namun sekarang saya mengambil masa kira-kira 25 minit untuk perjalanan ke sekolah, termasuk menghidupkan dan memanaskan enjin kereta sebelum bergerak. Selalu juga abah membantu saya bila melihat anak daranya ini kelam-kabut pagi-pagi. Malah emak membantu menyiapkan bekal makanan saya ke sekolah. Kadang-kadang saya pulang lewat mengalahkan emak yang bekerja di pejabat kerana beban kerja yang banyak dengan masa yang tidak setara dengannya. Betul-betul saya alwajibat aktharu minal auqat hehe. Malam ni kalau tiada apa-apa halangan, insya-ALLAH saya akan ke SMAKJ, bertolak bersama rombongan para guru tahfiz SMA Negeri Johor dan beberapa orang pegawai JAJ ke Terengganu. Doakan kami selamat pergi dan pulang. Kalau sempat, saya berangan nak jumpa kawan-kawan yang ada di sana termasuk Kak Fatin Nazmin. Itupun kalau dia sudi.
Ada apa-apa nak kirim?
Dua minggu lepas, saya dan keluarga berkesempatan menghadiri majlis walimah seorang sepupu di Kompleks Kastam Kelana Jaya. Alang-alang sudah sampai ke sana, saya membuat temujanji dengan Asma Ahmad Jahidi, sahabat suka duka di Mesir suatu masa dahulu. Pada mulanya kami berjanji hendak bertemu di rumah keluarganya sahaja di Kajang. Akan tetapi oleh kerana berlaku situasi yang tidak disangkakan, akhirnya dia mengubah rancangan untuk memandu terus ke Kompleks Kastam itu.
Sedang kami sekeluarga dalam perjalanan menuju destinasi, tiba-tiba hujan turun diikuti kilat sabung-menyabung. Saya menjadi bimbang untuk berbalas sms dengannya lagi lantaran kerap terbaca berita malapetaka menimpa mereka yang bermain sms atau bergayut di telefon bimbit ketika hujan turun.
Setibanya di sana, saya langsung menemui ibu saudara sepupu saya selaku tuan rumah untuk bersalaman dan bertanya khabar. Tidak lama kemudian, ketika berada di luar auditorium, saya ternampak sebuah Suzuki Swift berwarna hitam sedang memasuki perkarangan auditorium. Saya mengagak mungkin itulah kereta suami sahabat saya yang pernah diceritakannya suatu ketika. Saya pun terus ke kereta saya untuk mengambil beberapa barang yang perlu dibawa sebelum menaiki kereta Asma. Mujurlah saya membawa kunci pendua. Kunci yang satu lagi dipegang oleh abah yang sedang berada di dalam majlis tersebut.
Asma mengajak saya ke IOI Mall Puchong meskipun pada awalnya dia mahu membawa saya ke Sunway Pyramid. Saya sedikitpun tidak kisah, asalkan saya dapat bertemunya kerana kami memang tidak pernah bertemu sejak masing-masing pulang ke Malaysia dua tahun lalu. Sepanjang perjalanan, ibunya kerap menghubunginya kerana bimbang dia akan singgah di mana-mana. Saya ketawa kerana saya tahu sahabat saya itu memang seorang yang suka membuat keputusan secara spontan tanpa terlalu banyak berfikir seperti saya (suatu masa dahulu). Yang kelakarnya, sikapnya itu menjadi ikutan saya sekarang kerana saya sudah tidak mahu minda dan jiwa terbeban dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.
"Awak dah tak menulis lagi?" tanya Asma.
"Tak. Dah lama sangat nak menulis. Tak sempat," saya berterus-terang.
"Oh, sekarang dah sibuk bercinta dah tak sempat nak menulis ye?" dia tergelak.Saat itu, saya dapat merasakan air muka saya berubah walaupun dia tidak dapat melihat reaksi saya.
"Tak. Bukan pasal tu. Awak kan tahu, kat sekolah saya tu kekurangan guru tahfiz. Sepatutnya ada tiga orang tapi ada dua je. Ustaz yang sorang lagi tu pulak ada ajar madah lain jugak. Jadi banyak kerja dibebankan pada saya. Pelajar tahfiz tahun ni ramai. Lagipun dah takde mood nak menulis. Setakat tulis rancangan mengajar je."
Sebenarnya bukan Asma seorang yang bertanyakan perkara tersebut. Sejujurnya, keinginan menulis masih ada dalam jiwa saya. Namun apabila memikirkan banyak tugasan yang menanti, ditambah pula dengan kesukaran mendapat liputan internet menjadi penghalang untuk terus menitip khabar kepada rakan-rakan sekalian. Maaf jika ada yang beranggapan saya seperti mahu 'melarikan diri' walaupun saya pernah mengatakan ingin menjadikan blog ini sebagai diari. Para pelajar saya yang pernah membaca novel VT dan melihat nama saya di ruangan blurb juga ada bertanyakan tentang hal ini. Minat menulis belum berkubur, hanya ia menjadi kurang subur kerana faktor-faktor yang telah saya nyatakan di atas.
Baiklah, saya cuba ingat semula apa yang telah saya lakukan sepanjang ketiadaan saya di ruangan ini. Begini, selepas musim peperiksaan pertengahan tahun yang lalu,saya menghadiri kursus pedagogi di Hotel Seri Malaysia, Mersing. Kesulitan bermula apabila beberapa hari sebelum mengikuti kursus, komputer riba saya terjatuh dari sofa. Akibat hentakan itu, Aspire 4520 kesayangan saya masih 'dirawat' sehingga kini. Dalam musim cuti yang sama, C510 saya yang juga amat disayangi mengalami kerosakan yang sukar dipulihkan. Maka dengan duit gaji tertunggak selama beberapa bulan, saya pun membeli sebuah AspireOne D257 (saya masih setia dengan Acer) dan telefon genggam berjenama Samsung yang hanya berharga RM 80. Sebenarnya saya sangat meminati jenama Sony Ericsson. Akan tetapi sesudah empat buah SE yang saya miliki tidak mampu memenuhi keperluan saya, terpaksalah saya beralih kepada yang lain. Ingat, pisang hanya berbuah dua kali. Dua kali lagi dianggap sebagai penalti.
Selepas pulang dari berkursus, saya dan pasangan mula mencari dan membeli barang-barang hantaran untuk majlis pertunangan kami. Walaupun ketika itu sela masa antara cuti sekolah semester pertama dan majlis pertunangan masih banyak berbaki, kami perlu membuat persiapan lebih awal kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya. Mujurlah emak, abah dan Nadia turut sama menemani dan membantu kami yang tidak berpengalaman sepanjang proses pencarian tersebut. ini. Sekarang barulah saya tahu bahawa perjalanan ke gerbang perkahwinan bukan senang. Nyata ia menuntut kesabaran yang tinggi dari sekecil-kecil hinggalah sebesar-besar perkara. Tidak hairanlah jika ramai yang kecundang di pertengahan jalan kerana begitu banyak dugaan menanti. Alhamdulillah, syukur saya panjatkan kepada ALLAH swt kerana jodoh pilihan keluarga buat saya tidak cerewet orangnya.
Sebaik sahaja cuti sekolah tamat, markah dan analisa para pelajar perlu dikemukakan kepada pihak atasan. Apabila saya mengambil kerusi guru dan mendekatkannya ke meja pelajar kelas saya untuk mengumumkan keputusan peperiksaan, masih terasa debar seolah-olah saya masih bergelar pelajar dan hari itu guru akan menyebut nombor kedudukan saya di dalam kelas. Sebetulnya, kerjaya sebagai guru di sebuah sekolah menengah adalah salah satu dari sekian banyak cita-cita yang pernah saya miliki, begitu juga ingin menjadi guru tahfiz dan warden. Alhamdulillah, semuanya sedang saya lalui. Pengalaman menjadi warden sementara selama hampir tiga hari pula menjadikan saya merasa bernasib baik kerana tidak dilantik sebagai warden. Tanggungjawab menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar di asrama bukan mudah. Langsung tiada privasi dan sukar untuk berehat. Seringkali pintu bilik diketuk. Ada yang inginkan kebenaran untuk pulang ke kampung, outing, meminta tanda tangan, ada binatang berbisa masuk ke dalam surau dan macam-macam karenah lagi untuk ditangani. Cukuplah. Saya tidak mahu berangan yang bukan-bukan lagi.
1 Julai, satu lagi peristiwa bersejarah dalam hidup saya iaitu Hari Terbuka sekolah. Mesyuarat PIBG dan majlis penyampaian hadiah juga diadakan pada hari yang sama. Sehari sebelum majlis diadakan, saya ditugaskan membuat buku program; satu lagi keinginan saya. Ketika di Mesir, saya hanya terlibat sebagai editorial bahan tanpa ditugaskan untuk proses percetakan. Justeru itu, peluang yang datang kepada saya kali ini menambah lagi pengetahuan yang sedia ada.
Simply better.
Ada satu lagi kegembiraan yang ingin saya kongsikan bersama anda iaitu kereta yang saya tempah pada bulan April selamat sampai ke rumah beberapa hari sebelum bermula cuti sekolah. Jadi seminggu sebelum pulang ke asrama, setiap petang abah dan Nadia akan menemani saya menajamkan semula skil memandu secara berperingkat kerana saya sudah begitu lama tidak memandu walaupun lesen kelas D telah saya perolehi dan diperbaharui dari tahun 2005 sehingga sekarang. Dari hanya meronda di sekitar kawasan perumahan tempat tinggal kami, abah mengajak saya ke Taman Pagoh Jaya, seterusnya ke pekan Pagoh tetapi latihan terhenti setakat di hadapan deretan kedai di Jalan Besar kerana jalan sibuk. Begitu kata abah yang amat bimbangkan keselamatan anak gadisnya ini. Selepas dua hari, abah menyuruh saya memandu ke sekolah tempat saya mengajar. Pada hari berikutnya, abah menambahkan jarak latihan saya sehingga ke Muar ketika menghantar emak menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Pakar Sultanah Fatimah. Selang beberapa ketika, destinasi seterusnya ialah tempat lahir saya iaitu Kg Semerah Darat, Batu Pahat. Berikutnya, saya memandu melalui lebuhraya ke Ayer Hitam dan Nilai. Akhirnya abah melepaskan saya memandu seorang diri dari rumah ke sekolah setelah saya membawa emak dan Nadia pulang ke kampung ketika abah tidak dapat menemani kami pada suatu ketika.
Pertengahan bulan Julai, Along menemani saya ke Kota Tinggi untuk menghadiri kursus di Mutiara Motor Beach Resort, Tg Sedili. Perjalanan yang jauh dari Pagoh ke sana memaksa kami bermalam sehari sebelumnya di rumah ibu saudara kami. Saya merasa seronok kerana dalam musafir kali ini, abah membekalkan kami beberapa tandan pisang dan satu plastik besar berisi limau kasturi untuk disedekahkan kepada saudara-mara yang sempat kami ziarahi. Keluar dari lebuhraya Kulai, kami merancang untuk singgah di rumah Ustazah Rubiah di Jalan Kulai-Kota Tinggi. Namun oleh kerana sudah hampir masuk waktu maghrib, kami menukar arah ke Taman Sri Perang (tempat tinggal kami selama 20 tahun sebelum berhijrah ke sini). Along menuju ke Masjid Al-Mukhlisin manakala saya pula ke rumah Cik Sidah. Selepas itu, kami ke kedai makan Mella Tomyam di Kg Batu 25 untuk makan malam. Tanpa disangka-sangka, pemilik kedai yang kami panggil Mak Milah membelanja kami berdua kerana terharu apabila kami tidak lupa untuk singgah di situ. Sebenarnya Mak Milah dan suaminya, arwah Pak Anjang adalah guru mengaji kami sewaktu kecil. Seterusnya, kami ke rumah ibu saudara di Taman Kota Jaya. Keesokan paginya, ibu saudara kami yang akan ke tempat kerja sempat menyediakan sarapan dan membawakan bekalan kepada kami yang akan berjalan jauh ke Sedili iaitu mi goreng udang dan samosa yang sungguh menyelerakan.
Saya secara peribadi sememangnya suka menyertai program-program yang dapat menambahkan pengetahuan seperti seminar, kursus, bengkel, ihtifal dan lawatan sambil belajar. Apa yang menyeronokkan saya, sepanjang mengikuti program-program yang diadakan, saya berkesempatan menemui beberapa orang rakan dan kenalan yang sudah lama tidak ditemui. Di Pasir Gudang, saya menemui rakan sekelas saya ketika di Tingkatan 1. Di Mersing, penceramah utama kursus adalah teman baik emak yang sedari kecil hanya saya kenali namanya. Ketika menjadi guru pengiring Ihtifal Ilmiah, saya menemui senior saya ketika di MARSAH iaitu Kak Mardhiah Thaha dan Noreha Mahat yang sering disangka orang sebagai adik-beradik saya semasa di Mansurah. Di program Ihtifal Riyadhi, saya menemui Teacher Aslinda Abbas yang pernah mengajar saya di MARSAH dan seorang rakan sekelas dari Darjah 1 hingga 3 manakala di Tg Sedili, saya menemui Ustaz Azmi Mamat dan Ustazah Mastura, kedua-duanya guru saya di SMKABP, Kak Sharifah Talhah, senior DQ yang pernah menziarahi Along di PPUM pada 2003 dan Kak Norida, jiran bilik sebelah di MARSAH.
Sehari sebelum umat Islam berpuasa, majlis merisik yang hanya diadakan secara kecil-kecilan telah berlangsung di rumah saya.
Apabila Ramadan menjelma, saya menjalani rutin baharu iaitu berpuasa di asrama bersama para pelajar. Jam 4.30 pagi bila siren berbunyi, saya juga akan ke dewan makan seperti mereka untuk mengambil makanan buat bersahur. Selepas solat subuh dan bacaan manzil, saya akan tidur dan bangun pada jam 6.30 pagi untuk bersiap ke sekolah. Pulang dari sekolah, jam 3 petang ketika para pelajar menuju ke kelas persediaan, saya pula ke kelas tambahan untuk para pelajar Tahfiz Tingkatan 1 kerana pada tahun ini, mudir tidak membenarkan mata pelajaran tahfiz dimasukkan ke dalam jadual P & P atas sebab-sebab tertentu. Pada pendapat saya, kebaikan diadakan kelas tambahan adalah para pelajar lebih selesa untuk menghafaz dan memperdengarkan hafazan kepada guru kerana saya mengasingkan kelas dan waktu belajar untuk pelajar putera dan puteri. Saya fikir cara ini perlu kerana ada hal-hal yang sukar dinyatakan sekiranya pelajar putera ada bersama. Selain itu, para pelajar boleh mendapat input-input baharu di luar lingkungan sukatan pelajaran kerana tidak terikat dengan jadual waktu formal. Tamat kelas tambahan, saya akan pulang ke asrama untuk berehat sebentar sebelum ke bazar Ramadan bersama anak dara pakcik Din dan Pakcik Abd Jalil atau para pelajar ‘terpilih’ yang asyik ‘mengendeng’, “Ustazah, nak ikut gi bazar...”
Jarak perjalanan ulang-alik dari rumah ke sekolah ini lebih kurang 40 km. Walau bagaimanapun, mengenangkan kebosanan yang saya alami ketika tinggal di asrama dan kesibukan emak yang hendak memasak, menjahit dan membuat persiapan hari raya serta majlis pertunangan saya dalam satu masa, maka saya lebih kerap pulang ke rumah selepas mengadakan kelas tambahan daripada bermalam di asrama. Barang-barang saya angkut sedikit demi sedikit ke rumah sehinggalah majlis penutup Ihya’ Ramadan pada 26 Ogos lalu di mana abah yang mengambil saya di asrama, langsung membawa bersama baki barang-barang yang tidak dapat dimuatkan dalam kereta kecil saya.
Hantaran yang paling saya suka
Syawal tahun ini amat berbeza buat saya jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya lantaran kepenatan dan kesibukan berganda. Apapun saya bersyukur segala yang dirancangkan menjadi kenyataan dan kami sekeluarga masih berkesempatan mengadakan rumah terbuka raya untuk sahabat handai dan saudara mara.
Selepas cuti hari raya tamat, hampir setiap hari saya pulang lewat ke rumah kerana mengemaskinikan fail dan menyambung kelas tambahan yang tergendala lantaran cuti sekolah. Ada ura-ura mengatakan bahawa pentaksir akan datang untuk menilai keseluruhan prsetasi sekolah dan asrama. Ada kalanya saya sampai ke rumah lebih lewat dari emak yang bekerja pejabat sehinggakan seorang pelajar bertanya, "Ustazah dah tiga minggu balik petang kan?"
"Eh, awak kira eh?" Saya terkejut.
Minggu lepas peperiksaan PMR telah berakhir manakala mulai Isnin lalu para pelajar Tingkatan 2 mula menduduki peperiksaan SMRA. Minggu depan bermulalah peperiksaan akhir tahun untuk para pelajar Tingkatan 1. Selepas itu, peperiksaan SMA pula mengambil tempat, diikuti peperiksaan akhir tahun (mata pelajaran akademik Arab) untuk para pelajar Tingkatan 3 dan mata pelajaran akademik Melayu untuk para pelajar Tingkatan 2. Walaupun penat dan kurang rehat, saya tetap akan meneruskan tugas saya sehingga waktu yang ditentukan-Nya kerana saya adalah seorang guru. Menjadi guru adalah cita-cita yang saya simpan sejak saya berada di bangku tadika. Saya ingin menjadi guru yang bukan sahaja mengajar malah berupaya mentarbiah anak-anak didik saya sebelum saya mendidik anak-anak sendiri pula suatu hari nanti.
Insya-ALLAH saya akan menulis lagi apabila berkesempatan nanti.
*Entri ini ditulis sedikit-sedikit, dari bilik guru pada 13/10/11 dan disiapkan di makmal bahasa pada hari berikutnya.
Assalamualaikum wbt
Sahabat-sahabat pembaca sekalian, maafkan saya kerana sudah lama tidak menjenguk dan mengisi laman ini. Selain faktor kesibukan yang membelenggu diri lantaran kerjaya sebagai guru yang menuntut banyak pengorbanan waktu, saya juga sedang membuat persiapan untuk menghadapi program kendalian saya iaitu Ihya' Ramadhan di sekolah ini, begitu juga dengan majlis pertunangan yang dijadualkan akan diadakan pada minggu pertama Aidilfitri nanti, insya-ALLAH. Tambahan pula saya mengajar di kawasan pedalaman, liputan talian internet sering mengecewakan. Maka tidak dapatlah saya selalu berada di sini. Maafkan saya sekali lagi.
Sukar hendak saya ceritakan satu-persatu nikmat yang telah dikurniakan-NYA untuk saya kerana semuanya berlaku dengan cara-NYA yang rahsia, namun sentiasa mempesonakan manusia. Sekelip mata sahaja semuanya datang menjelma. Tidak terjangkau kasih sayang-NYA kepada kita walaupun kita manusia biasa yang sering alpa. Barangkali dengan lirik lagu di bawah ini sahabat-sahabat dapat menangkap apa yang saya maksudkan. Alhamdulillah...
"Maher Zain - Alhamdulillah
I was so far from you
Yet to me you were always so close
I wandered lost in the dark
I closed my eyes toward the signs
You put in my way
I walked everyday
Further and further away from you
Ooooo Allah, you brought me home
I thank You with every breath I take.
Alhamdulillah, Elhamdulillah
All praises to Allah, All praises to Allah
Alhamdulillah, Elhamdulillah
All praises to Allah, All praises to Allah.
I never thought about
All the things you have given to me
I never thanked you once
I was too proud to see the truth
And prostrate to you
Until I took the first step
And that’s when you opened the doors for me
Now Allah, I realized what I was missing
By being far from you.
Alhamdulillah, Elhamdulillah
All praises to Allah, All praises to Allah
Alhamdulillah, Elhamdulillah
All praises to Allah, All praises to Allah.
Allah, I wanna thank You
I wanna thank you for all the things that you’ve done
You’ve done for me through all my years I’ve been lost
You guided me from all the ways that were wrong
And did you give me hope
O Allah, I wanna thank you
I wanna thank You for all the things that you’ve done
You’ve done for me through all my years I’ve been lost
You guided me from all the ways that were wrong
I wanna thank You for bringing me home
Alhamdulillah, Elhamdulillah
All praises to Allah, All praises to Allah
Alhamdulillah, Elhamdulillah
All praises to Allah, All praises to Allah.
Banyak yang ingin saya kongsikan tetapi buat masa ini belum berkesempatan kerana sejak semalam, para pelajar di sini sudah menduduki peperiksaan. Maka keinginan untuk menulis terpaksa saya tahan di dalam hati. Soalan peperiksaan belum siap lagi=D

